Aidil Adha disebut juga Hari Raya Korban atau Hari Raya Haji. Ketika itu, sejak malam 10 Zulhijjah hingga 13 Zulhijjah, ummat Islam di seluruh dunia menyambut hari yang mulia ini dengan takbir, tauhid dan tahmid.
Bagi mereka yang ada kemampuan disembelih korban dan dengannya di bahagi-bahagikan terutama sekali kepda fakir miskin, sebagai tanda pengabdian yang tulus dan ikhlas dengan niat mencari keredhaan Allah.
Ibadah haji salah satu rukun Islam yang wajib kepada mereka yang mampu sekali seumur hidup. Di dalamnya banyak terkandung pelajaran, pendidikan dan pengalaman yang sangat berguna bagi kita yang mengerjakannya, Allah berfirman yang maksudnya:
“Dan serulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan mengendarai unta yang kurus (kerana jauh perjalanan) yang datang dari segenap penjuru yang jauh . Supaya mereka menyaksi berbagai-bagai manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebut nama Allah anugerahkan kepada mereka, berupa binatang ternak. Maka makanlah sebahagian daripadanya dan berikanlah makan orang-orang yang sengsara dan fakir.”
(Surah Al-Hajj:27-28)
Berbagai-bagai manfaat dapat kita perolehi apabila kita menunaikan ibadah haji secara baik menurut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan, antaranya ialah:
Dapat menanamkan rasa ukhuwwah Islamiyah sedunia, menanamkan rasa persamaan, mendidik rohani dan jasmani kita supaya tabah dan sabar dalam menghadapi segala kesukaran didalam mengerjakan sesuatu perkara, dapat menambah pengetahuan dan pengalaman untuk mempelajari adat istiadat dan keadaan bangsa-bangsa lainnya dari seluruh dunia.
Yang datang menunaikan ibadah haji itu terdiri dari ummat Islam dari berbagai-bagai bangsa dan suku dan dari berbagai-bagai tingkat. Walaupun demikian, dihadapan Allah, mereka sama-sama hamba Allah, sama-sama berpakaian ihram bagi lelaki, iaitu pakaian yang tidak berjahit serba putih yang sehelai disarungkan dan sehelai yang lainnya diselempangkan menutupi sebahagian tubuh.
Padang Arafah merupakan tempat mereka berkumpul, kaya dan miskin,pegawai tinggi ataupun rendah, semuanya bersaudara, merupakan satu ummat yang bersatu padu di bawah kalimah ‘Lailaahaillallah, Muhammadurrasulullah.”
Alangkah gembiranya hati jika memandang betapa banyaknya mereka yang datang ke tanah suci, semuan
ya memohon kepada Ilahi Rabbi semoga dilimpahi kurnia menurut apa yang mereka hajatkan. Dikala itu, berkumandanglah ucapan zikir, talbiah, tasbih, tahlil, tahmid, doa dan sebagainya.
Penyembelihan korban yang dilakukan pada hari Raya Aidilaldhamerupakan pengorbanan yang telah diberikan oleh nabi Ibrahim alaihissalam dan anakandanya Ismail a.s.
Sewaktu Ismail telah dewasa dan dapat menolong ayahandanya, maka Allah telah menguji mereka berdua sebagaimana yang di ceritakan oleh Allah,
“Ketika anak itu pandai berusaha (dewasa), berkatalah Ibrahim:”Hai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku menyembelih engkau, maka fikirkanlah, apa pendapatmu?” Ia menjawab: Wahai ayahku, laksanakanlah apa yang diperintahkan itu, Insyaallah ayah akan mendapati aku termasuk orang-orang yang sabar.”
“Tatkala kedua-duanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya di atas pelipisnya, dan Kami panggilah dia: “Hai Ibrahim, sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu, sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar.”
(Surah As Sooffat:102-107)
Inilah sebahagian daripada pengorbanan yang telah diberikan oleh Nabi Ibrahim dan Ismail dalam mematuhi perintah Allah atau dengan kata lain pengorbanan seorang ayah yang mendapat perintah untuk menyembelih anaknya sendiri yang sangat dikasihi dan Ismail sebagai seorang anak yang taat dan setia di atas perintah Allah dan dengan tidak ragu-ragu meminta supaya ayahnya melaksanakan perintah itu dengan segera.
Akan tetapi Allah tidaklah seekejam itu, Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Hanya itu merupakan satu cubaan daripada Allah terhadap hamba-hambanya sampai ke mana kecintaan dan ketaatan hamba itu akan terbukti di dalam menempuh cubaan dan dugaan. Kerana Nabi Ibrahim dan Ismail telah lulus dalam menempuh cubaan itu, maka Allah menggantikan Ismail dengan seekor sembelihan.
Semoga dalam menyambut Aidiladha dapatah kita hayati hikmah-hikmah yang terkandung di dalamnya. Mudah-mudahan Allah menyatukan kembali seluruh hati ummat Islam yang sedang berada di tebing bahaya kemusnahan.
Semoga kita semua sedia untuk berkorban demi kepentingan ummat Islam, dan terciptanya kembali keagungan Islam dan ummatnya.