Saya percaya ramai akan berbicara tentang azam tahun baru. Saya juga anda ada azam anda yang tersendiri. Saya cuma ingin luahkan tentang satu perkara sahaja iaitu tentang ‘pendekatan’.
Jika kita mahu makan nasi, ada banyak caranya, Kita boleh masak, kita boleh beli atau kita boleh minta sesiapa berikan. Dalam 3 cara ini pula ada cara-cara lain yang tersendiri pula. Jika kita mahu masak, kita boleh masak pakai dapur kayu, masak pakai periuk elektrik atau pakai periuk kukus. Jika kita mahu masak guna periuk elektrik pula, kadang-kadang kita tidak ada periuk tersebut. Adakah usaha masak nasi akan gagal? Tidak juga. Mungkin boleh pinjam periuk nasi elektrik saudara mara atau jiran sebelah. Pendek kata, bagi setiap pilihan yang kita buat, ada bermacam-macam lagi pilihan lain yang wujud.
Apa yang saya cuba katakan ni? Begini. Masalah utama azam tahun baru ialah ia tidak begitu mudah untuk dicapai. Ada usahawan yang meletakkan azam baru untuk tingkatkan pendapatan daripada RM10,000 sebulan kepada RM20,000 sebulan. Namun setelah beberapa bulan berlalu, didapati azam itu tidak begitu mudah dicapai. Telah banyak cara digunakan, telah banyak pendekatan digunakan, masih lagi gagal. Akibatnya, usahawan ini berhenti di tengah jalan. Mereka kata dah cuba semua cara tetapi masih tidak berjaya. Adakah benar semua cara telah dicuba dan digunakan?
Ada satu perkara yang dapat saya kongsikan mengenai perkara ini. Saya pelajari perkara ini daripada program yang saya jalankan bersama para peserta korporat. Dalam satu sesi, saya berikan peserta beberapa masalah untuk diselesaikan. Majoriti peserta tidak dapat selesaikan masalah tersebut. Yang dapat selesaikan pun mungkin kerana mereka pernah disoal dengan masalah tersebut sebelum ini. Dalam sesi ini, mendapat jawapan bukanlah perkara terpenting. Perkara terpenting yang saya tekankan ialah, “jika cara yang kita gunakan untuk selesaikan masalah tidak menjadi atau berkesan, gunakan cara lain. Bukan itu sahaja, ‘Use completely different approach!‘ Peserta saya terutamanya daripada Pegawai LHDN tempohari tentu masih terngiang-ngiang tentang ayat ini.
Sama seperti perumpamaan memasak nasi tadi, kalau satu cara tidak boleh digunakan, banyak lagi cara alternatif yang boleh diguna pakai. Jadi jika usahawan yang gagal capai matlamat tadi berkemungkinan besar masih banyak lagi cara yang belum dicuba.
Apa yang saya sedar, orang dewasa tidak begitu berani untuk menukar cara mereka selesaikan masalah. Maksudnya, mereka akan ulang dan ulang cara yang sama. Yang peliknya, mereka harap dengan cara yang sama itu akan mengubah hasil yang mereka inginkan. Jangan kata peserta, saya sendiri juga begitu. Kebanyakan kemajuan dan kejayaan yang saya kecapi sekarang berlaku setelah saya sedar yang saya asyik ulangi cara yang lama. Akibatnya, kemajuan saya terbatas. Apabila saya cuba cara yang baru, Alhamdulillah, hasil yang baik mula menampakkan wajah.
Jadi, hari ini, lihat semula senarai azam tahun 2010 kita. Cuba kita sama-sama fikirkan, adakah kita masih terfikir untuk gunakan cara yang biasa kita lakukan? Adakah kita berani lakukan sesuatu yang ‘completely different’. Apakah sesuatu yang dinamakan ‘completely different’? Ia adalah sesuatu yang mungkin kita tidak pernah lakukan sebelum ini. Ia juga mungkin sesuatu yang kita tidak berani lakukan sebelum ini. Namun untuk azam tercapai, ia mesti dilakukan juga.
Saya ucapkan selamat berjaya mencapai azam tahun 2010. Semoga tahun ini membawa lebih berkat, rahmat dan ketenangan dalam hati-hati kita semua. Amin.
0 comments:
Post a Comment