Pages

HAKIKAT KEMERDEKAAN DALAM PROSPEK ISLAM

Kemerdekaan sebuah negara adalah nikmat terbesar kurniaan Allah yang bukan semua manusia dapat merasainya. Berapa ramai umat dan bangsa yang mendiami dunia ini semenjak daripada dahulu hinggalah sekarang, tidak berhenti-henti bejuang hanyalah untuk sesuatu yang dinamakan kemerdekaan. Tetapi hingga kini, masih ramai dikalangan bangsa yang masih belum kenal erti kemerdekaan. Kehidupan mereka zahir dan batin terbelenggu dalam penjajahan.Segala-galanya disekat dan dijajah termasuklah kehidupan untuk beragama dan tunduk kepada Allah Ta'ala dengan penuh ketenangan.
 
Berjihad dan berkorban dengan jiwa dan raga untuk memerdekakan negara dari belenggu penjajahan adalah di antara sifat-sifat yang mulia dan disanjung tinggi oleh Islam. Oleh itu, dalam mengenang kembali sejarah kemerdekaan negara kita , generasi yang hidup di zaman ini janganlah melupakan pengorbanan para pejuang kemerdekaan yang telah membuka jalan ini kepada kita. Disebabkan cetusan semangat para pejuang inilah maka kita dapat hidup di zaman ini dan merasai nikmat perjuangan mereka. Justeru itu, sebagai umat yang berhemah tinggi dan berakhlak, kita merasa terpanggil untuk menghormati dan mengenang kembali jasa pahlawan tanah air sama ada yang masih hidup atau yang telah gugur di medan perjuangan.
 
Kedatangan Islam sendiri ke alam dunia ini membawa mesej dan sifat kemerdekaan. Islam menyeru manusia supaya membebaskan diri dan pemikiran mereka daripada belenggu jahiliah dan kemusyrikan terhadap Allah Ta'ala, membebaskan diri daripada perhambaan dan membebaskan negara daripada cengkaman musuh. 
 
Islam dalam erti kata kesejahteraan, kedamaian dan keamanan semuanya menjurus kepada maksud kemerdekaan. Hakikat ini dapat kita lihat semasa perkembangan awal Islam di mana Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam telah membawa kemakmuran kepada Negara Madinah dan memerdekakan Kota Mekah daripada cengkaman kafir Quraisy. Begitu juga perkembangan di zaman Khulafa' ar-Rasyidin  yang banyak memerdekakan negara dari cengkaman kekufuran.
 
Islam juga yang bersifat merdeka dalam erti kata yang lain bermaksud bebas daripada keruntuhan akhlak dan kemurkaan Allah. Lantaran itu, Islam talah berjaya menyelamatkan tamadun manusia daripada sistem perhambaan, sama ada perhambaan sesama manusia ataupun perhambaan terhadap hawa nafsu yang diselaputi oleh syirik, kekufuran, kemungkaran dan kemaksiatan.
 
Seorang penyair Arab yang bernama Ahmad Syauqi berkata dalam syairnya yang bermaksud:
"Kekalnya bangsa kerana mulianya akhlak, runtuhnya bangsa kerana runtuhnya akhlak"
 
Justeru itu, umat Islam hendaklah sentiasa berazam untuk membebaskan diri  daripada sifat-sifat yang boleh meruntuhkan wibawa kamanusiaan kerana sifat-sifat yang demikian itu amat dimurkai Allah dan akan hanya menyebabkan manusia terpenjara di bawah arahan nafsu dan telunjuk syaitan. Dan lebih jauh dari itu, kita hendaklah sentiasa memohon keampunan daripada Allah Ta'ala agar mendapat keredhaanNya dan terlepas daripada siksaan api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu-batan. Inilah dia nilai sebenar kemerdekaan yang diajarkan oleh agama kita.
 
Wallahu a'lam.

Hubungan Nuzul Quran dengan Lailatulqadar


Dua minggu telah berlalu umat Islam berpuasa bermakna kita sekarang dalam suasana memperingati Nuzul Quran (turunnya al-Quran). Peringatan ini bagi kita kaum Muslimin amat penting kerana kita memperingati peristiwa besar yang terjadi pada sekitar abad yang lalu.

Kita memperingati Nuzul Quran kerana kita berkeyakinan bahawa al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. adalah satu-satunya rahmat yang sebesar-besarnya kepada umat manusia di seluruh alam.

Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad pertama kalinya ketika baginda sedang berkhalwat di Gua Hira' pada malam Jumaat bertepatan pada tanggal 17 Ramadan iaitu tahun ke-41 dari kelahiran beliau atau pada tanggal 6 Ogos 610 M.

Kebanyakan ulama menetapkan bahawa pada hari penghabisan turunnya al-Quran ialah hari Jumaat 9 Zulhijjah tahun 10 Hijrah atau tahun ke-63 dari tarikh kelahiran Nabi.

Pada saat itu Nabi s.a.w. sedang berwukuf di Padang Arafah dalam menyelenggarakan haji yang terkenal dikenali haji wada'. Kebanyakan ulama tafsir menetapkan bahawa sesudah hari itu tidak ada lagi al-Quran diturunkan untuk menerangkan hukum dan nabi pun setelah haji wada' selama 18 hari, baginda wafat iaitu pada tanggal 12 Rabiulawal tahun 11 Hijrah.

Ayat yang terakhir menurut pendapat Jumhur adalah surah al-Maidah ayat 3 yang bermaksud:

Pada hari ini Ku-sempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Ku-ucapkan kepadamu nikmat-Ku dan telah Ku-redai Islam itu agama bagimu.

Kalau kita sekarang ini sedang berbicara tentang Nuzul Quran, sangat wajarlah bagi kita sebagai hamba Allah s.w.t. secara khusyuk dan rendah hati menghayati suasana malam diturunkannya al-Quran sebagaimana yang tersebut dalam surah al-Qadr ayat 1 hingga 5 yang bermaksud;

Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran ini pada malam Lailatulqadar, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatulqadar? Malam Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut; Sejahteralah malam yang berkat itu hingga terbit fajar!

Demikian juga dalam Surah Ad-Dukhan ayat 3 Allah berfirman yang bermaksud; (Sesungguhnya kami telah menurunkan al-Quran pada malam yang tersebut kerana) pada malam yang berkat itu dijelaskan kepada malaikat tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku (tidak berubah atau bertukar).

Meskipun kata-kata `malam' disebut dalam al-Quran sebanyak 92 kali, namun khusus untuk malam Qadar ini diberikan kehormatan yang amat tinggi sekali. Ia dinamakan `malam' yang diberi berkat kerana turunnya al-Quran pada malam itu bersama seluruh malaikat di bawah pimpinan malaikat Jibril.

Penghormatan ini berlangsung satu malam suntuk dengan tenang dan aman damai sehingga terbitnya fajar pagi. Sengaja digambarkan oleh Allah s.w.t. dengan kata `salam' akan ketenangan malam yang semalaman itu sebagai kiasan daripada mesej dan isi yang dibawa oleh kitab suci iaitu perdamaian.

Inilah satu penghormatan yang begitu besar yang pernah terjadi dalam coretan seluruh sejarah kemanusiaan. Justeru Lailatulqadar sentiasa segar dan hidup setiap tahun sepanjang perjalanan sejarah manusia untuk memperingati peristiwa turunnya wahyu Allah s.w.t.

Di dalam surah al-Qadr juga disebut malam Lailatulqadar melebihi seribu bulan. Ini bermakna amal yang dilakukan pada semalaman Lailatulqadar melebihi pahalanya daripada amal seribu bulan. Banyak ulama menjelaskan seribu bulan itu bukanlah memperhitungkan angka yang tepat, tetapi dimaksudkan kemuliaan Lailatulqadar berbanding dengan segala hari dan malam yang lainnya, iaitu suatu saat yang tidak terhingga ketinggian nilainya.

Apakah hikmat Allah tidak menyebut mana satu hari akan berlakunya Lailatulqadar. Berdasarkan pada hadis nabi, Lailatulqadar akan jatuh pada tarikh ganjil di akhir bulan Ramadan iaitu 21, 23, 25, 27, dan 29. Ia terjadi pada salah satu malam itu dan hanya Allah sahaja yang mengetahui waktunya yang tepat.

Panduan inilah yang sering digunakan oleh umat Islam untuk mengisi hari-hari itu dengan meningkatkan amal-amal yang soleh. Mereka optimis dan mempunyai harapan yang tinggi dan mengharapkan amal yang dilakukan bertepatan dengan Lailatulqadar yang nilai pahalanya ribuan bulan.

PUASA BERI KEKUATAN DALAMAN

   

Doa disifatkan dalam salah sebuah hadis sebagai senjata orang Islam dan pada ketika yang lain diibaratkan sebagai otak dari ibadat. Orang yang berpuasa seharusnya membanyakkan berdoa kepada Allah. Doa memberi pengharapan dan menambah keyakinan seorang hamba terhadap penciptanya. Doa juga menyedarkan manusia betapa kerdil dan lemah manusia terhadap perancangan Allah.

Walau apa pun yang dirancang manusia ditangan Allah jua kuasa penentunya. Usaha manusia tidak akan dapat mengatasi qadak dan qadar Allah.

Orang yang berpuasa digalakkan untuk banyak berdoa hinggakan disebut dalam satu hadis bahawa mereka termasuk dalam 3 golongan manusia yang tidak akan ditolak doanya. Sabda Rasulullah yang bermaksud 3 orang yang tidak akan ditolak doanya ialah pemerintah yang adil, orang yang berpuasa hingga dia berbuka dan orang yang teraniaya. Dapatlah kita fahami di sini latihan jiwa hasil daripada puasa akan menyebabkan manusia hampir kepada Allah dan lantaran ia dekat kepada Allah doanya mudah diperkenankan.

Manusia yang banyak berdoa kepada Allah bukan saja akan akur pada ketentuan Allah tetapi berkeyakinan bahawa Allah memakbulkan permintaannya bahkan apa yang telah ditentukan Allah adalah yang terbaik untuk dirinya.

Dalam ayat 186 Surah Al-Baqarah yang bermaksud: ''Apabila hambaKu bertanya tentang Aku katakan (wahai Muhammad) bahwa Aku dekat dan Aku menyampaikan doa orang yang meminta kepada Ku.''

Allah menjanjikan bahawa setiap yang meminta pasti akan dimakbulkan permintaannya. Ini bermakna Dia akan mengotakan janji-Nya. Apa yang dihajati oleh orang yang berdoa tadi akan ditunaikan tetapi menurut cara Allah dan perancangan-Nya bukan perancangan manusia. Kadang-kadang perancangan Allah sama dengan perancangan orang yang meminta kadang-kadang ia berbeza. Apa pun yang pasti doanya termakbul dan Allah memberi pilihan yang terbaik untuk manusia itu.

Ibadat puasa bukan saja menggandakan pahala untuk orang yang taat melakukannya tetapi ia menambah kekuatan spirituil melalui sifat ikhlas. Amalan puasa adalah antara manusia dengan Allah. Jika kita makan atau minum dengan diam-diam mungkin tiada siapa yang melihat cuma Allah saja yang tahu. Dengan ini puasa menanam sifat jujur dalam diri sendiri dan kepada Allah. Apabila kita membiasakan diri dengan ikhlas, kita bertambah yakin dengan segala tindak-tanduk kita. Kerana pentingnya sifat ikhlas ini Allah s.w.t. sendiri yang akan membatas pahala orang yang berpuasa.

Ketahanan badan yang diperoleh melalui latihan berlapar dalam puasa juga menghasilkan ketahanan mental dan rohani. Melalui puasa dapatlah kita fahami bahawa seseorang menjadi kuat dan boleh bekerja bukanlah kerana makan saja tetapi kerana keyakinan dan iman kepada Allah akan menjadi nadi penggerak kepadanya. Ini terbukti dalam sejarah peperangan Badar yang berlaku dalam bulan Ramadan ketika pertama kali orang Islam diwajibkan berpuasa. Kekuatan seorang sahabat boleh bertambah menjadi kepada tenaga kekuatan dua puluh orang hanya kerana keimanan yang jitu pada Allah. Walaupun mereka sedang berpuasa musuh yang kenyang akhirnya tewas ditangan orang Islam yang lapar dan sedikit jumlahnya.

Kesan kerohanian ini sebolehnya dikekalkan dalam diri orang Islam. Dengan itu mereka dianjurkan meneruskan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal supaya kekuatan rohani ini berkesinambungan. Bahkan untuk menjamin kesan kerohanian ini lebih dirasai dan berterusan, dari sebelum Ramadan orang Islam sudah mula berjinak-jinak dan berlatih melalui puasa Rejab dan Syaaban.

Puasa Ramadan berbeza dengan puasa dalam bulan lain. Ia penuh keberkatan, kedatangannya dialu-alukan dan pemergiannya ditangisi. Jika manusia tahu apa yang terkandung daripada keberkatannya mereka akan memohon supaya Ramadan itu sepanjang tahun. Sayang sedikit bagi kebanyakan kita penekanan persediaan Ramadan ialah seolah-olah Ramadan terpaksa dilalui untuk meraikan raya. Persiapan untuk raya melebihi daripada persiapan untuk puasa., Seharusnya kita bersiap untuk puasa bersedia meningkatkan kekuatan dalaman.

Bulan Ramadan sangat istimewa. Berkat dan rahmatnya membuat kebanyakan orang terpanggil untuk membuat kebajikan dan menambah ibadat. Orang yang jarang membuat amalan sunat pun akan sanggup sama-sama berjemaah, tadarus dan bertarawih. Paling tidak pun mereka terpanggil ke masjid untuk menikmati juadah berbuka dan ''moreh'' selepas tarawih yang disedekahkan oleh orang ramai.

Faktor pembangunan kekuatan manusia sebenarnya adalah terletak pada tiga perkara utama iaitu akal, rohani dan jasmani. Semua kekuatan ini dapat dibina melalui puasa. Akal menjadi kuat dengan pembacaan al-Quran. Rohani dan jiwa pula kental dengan zikir dan istighfar. Fizikal badan pula mendapat ketahanan melalui puasa.

Ibadat puasa sesungguhnya berbeza dengan ibadat yang lain. Kesannya tidak terlibat secara zahir. Ia lebih merupakan amalan dalaman yang tersirat dalam diri seseorang. Ia berupaya memberi kekuatan dalaman untuk pembangunan insan.